Monday 7 March 2016

ii.    Penggunaan Nama Allah Oleh Kristian.

        Dari pelbagai pandangan yang diutarakan dengan melihat dari pelbagai sudut. Secara asasnya, apa yang paling penting adalah, prinsip Islam itu sendiri dalam menilai isu sebegini. Berdasarkan pengamatan dari segenap aspek, baik dari hujah mereka yang membenarkan mahupun hujah mereka yang melarang, kesimpulan umum yang dapat dibuat adalah, ianya lahir (samada bersetuju atau menolak) daripada hujah-hujah yang zhonniyyah atau tidak muktamad.

Namun, ketika berhadapan dengan sesuatu isu setempat, pendirian seseorang ahli ilmu atau ulama’ selalunya dibina atas timbangan keilmuan yang teliti, setelah melihat segenap sudut yang perlu diperhatikan termasuklah maslahat sesebuah masyarakat Islam di tempat tersebut. Oleh yang demikian, dalam isu penggunaan kalimah “Allah” bagi orang-orang Kristian ataupun orang-orang kafir yang lain, pendirian seseorang ahli ilmu itu hanyalah berbentuk tarjih (menguatkan salah satu pendapat) setelah menilai isu ini dari pelbagai sudut.

Orang-orang Kristian menyembah tuhan dalam bentuk triniti, di mana tuhan itu bukan Maha Esa seperti kepercayaan orang-orang Islam dan bukan juga berbilang-bilang sebagaimana kepercayaan orang-orang kafir. Mereka bertuhankan tuhan yang satu dalam tiga dan tiga dalam satu. Bahkan, hampir tiada orang-orang Kristian yang mampu memahami konsep triniti dengan kefahaman yang tepat kerana setiap orang mempunyai persepsi yang berbeza tentang konsep trinity mereka.

Kesimpulannya, orang-orang Kristian percaya bahawasanya tuhan adalah:

- TUHAN AYAH (Yahweh)
- TUHAN ANAK (Jesus/Nabi Isa)
- TUHAN ROH QUDS (Holy Spirit)

Justeru, secara prinsipnya, masyarakat Islam sewajarnya tidak meredhai orang-orang Kristian menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka kerana tuhan mereka tidak bersifat keesaan tetapi sebaliknya bersifat triniti. Di sisi orang-orang Kristian, mereka cuba membuktikan bahawasanya konsep triniti adalah konsep tauhid (atau monotheism). Maka, sebab itulah mereka juga mahu menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada tuhan mereka agar masyarakat Islam awam khususnya faham bahawa, mereka (orang-orang kristian) juga menyembah tuhan yang Maha Esa tetapi dalam bentuk triniti.

No comments:

Post a Comment